PENGENALAN SMK TAMAN BUKIT INDAH

SMK Taman Bukit Indah dibina atas nama Kementerian Pelajaran Malaysia secara rundingan " Design and Build " mulai Mei 2002 dan disiapkan sepenuhnya pada September 2003. Bangunan ini diserahkan sepenuhnya pada Jabatan Pelajaran Negeri Johor pada Mac 2004.

SMK Taman Bukit Indah terdiri daripada blok-blok 3 dan 4 tingkat bangunan pentadbiran dan akademik dengan kemudahan kantin, tempat letak kereta dan basikal berbumbung, dewan serbaguna, kemudahan sukan, surau, 4 unit wakaf dan pangsapuri yang menempatkan 16 unit rumah guru.

Dewan sekolah diberi nama Dewan Seri Indah, dataran perhimpunan dinamakan Dataran Semarak manakala ruang foyer dipanggil Anjung Lestari. Kelas-kelas pula mengambil nama sempena perkataan-perkataan yang "indah" seperti Anggun, Bangi, Ceria dan lain-lain.

SMK Taman Bukit Indah mula beroperasi pada 1 Jun 2004 dan sesi persekolahan bermula pada 14 Jun 2004 yang melibatkan tingkatan peralihan, satu, dua dan empat. Sejumlah besar murid-murid dari SMK Perling 2 mendaftarkan diri pada hari pendaftaran yang diadakan pada 11 Jun 2004. Jumlah murid yang mendaftar ialah 254 orang dan meningkat ke 299 orang pada Disember 2004. Sejumlah 9 buah kelas dibuka iaitu 2 kelas peralihan, 3 kelas tingkatan 1, 3 kelas tingkatan 2 dan 1 kelas tingkatan 4.

Puan Hajah Noor Hayatee Binti Md Noor pula diberi mandat sebagai pengetua pertama manakala seramai 8 orang guru terlatih dan 5 orang guru sandaran tanpa latihan telah memulakan tugas mereka di sekolah ini.

Pada sesi persekolahan 2006, Pn Salbiah binti Noordin telah menggantikan Pn Hjh Norhayatee yang telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru di KPM Putrajaya.

Manakala pada 16 September 2010, SMK Taman Bukit Indah telah menyambut kehadiran Pengetua yang baru, Pn Hjh Zubaidah binti Endot yang bertugas sehingga kini.

Pada akhir April 2011, pelajar SMK TAman Bukit Indah berjumlah 1878 manakala tenaga pengajar berjumlah 113 orang dan staf sokongan seramai 12 orang. Ini merupakan suatu pertambahan yang begitu tinggi sesuai dengan pertumbuhan dan pembangunan di kawasan sekelilingnya (Wilayah Iskandar)

Pertambahan jumlah tenaga pendidik juga telah dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam bidang akademik dan juga bidang kokurikulum.